JOHOR BAHRU – Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan, di sini ditutup hari ini setelah pencemaran bau kimia yang kuat dikesan di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, langkah itu diambil setelah mendapat nasihat daripada pasukan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan bomba yang menjalankan pemeriksaan di kampung itu.
Katanya, langkah itu bagi membendung masalah yang lebih serius iaitu menjejaskan tahap kesihatan pelajar setelah terdedah dengan udara yang tercemar itu.
“Saya telah berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup pada hari ini. Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini sementara menunggu laporan siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Tinjauan di lokasi mendapati Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan tidak beroperasi dan ibu bapa hadir untuk membawa anak mereka pulang ke rumah.
Terdahulu, sebuah tadika Kemas Jalan Masjid, Kampung Melayu Pandan, di sini yang terletak bersebelahan dengan Sungai Pandan juga tidak beroperasi pagi tadi. Seramai 60 kanak-kanak diarahkan pulang berikutan pencemaran bau dipercayai kimia sejak awal pagi.
Pendidik Masyarakat Kemas, Siti Nor Azliza, 39, berkata, bau pencemaran yang sangat kuat itu meloyakan sehingga menyebabkan pening dan pedih mata. – KOSMO! ONLINE