fbpx

‘Saya perlukan mesin oksigen, katil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORUDIN dan isterinya ketika ditemui di rumah mereka di Felda Anggerik Jengka 1, Maran, baru-baru ini.

MARAN – Ingatkan batuk ber­darah yang dialami mampu sembuh selepas makan ubat, namun sangkaannya meleset apabila dia disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Peneroka felda, Norudin Sarpin, 66, berkata, khabar ngeri itu melemahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan dan kini masa banyak dihabiskan atas katil.

“Setelah batuk tidak berhenti walaupun telah makan pelbagai jenis ubat, saya ke Hospital Jengka Mac tahun lalu sebelum di­sahkan ada simptom kanser paru-paru.

“Sejak itu kesihatan saya semakin merosot hari demi hari dan kini banyak masa dihabiskan di atas katil dan kerusi malas ditemani isteri Siti Hanidah Marjuki,” katanya di sini semalam.

Norudin berkata, keadaannya yang semakin merosot membuatkan dia di rujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan dirawat selama sebulan selain kini ber­ulang alik ke Hospital Kuala Lumpur bagi mencuci ketulan darah beku di paru-paru.

Menurutnya, akibat penyakit itu dia sering sesak nafas malah tidak mampu lagi menguruskan diri sebagaimana biasa.

“Wang simpanan banyak sudah habis digunakan untuk belanja rawatan susulan di Hospital Jengka dan Hoshas termasuk untuk menyewa kereta,” ujarnya.

Tambah Norudin, dia sangat memerlukan sebuah mesin oksigen bernilai kira-kira RM5,000, kerusi roda dan katil boleh laras.

“Sebulan saya memerlukan lebih RM3,000 untuk lima tin susu khas, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan untuk penyakit ini.

“Kerusi roda yang saya gunakan ini ihsan daripada jiran sehingga saya dapat kerusi roda baharu,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noridin di talian 019-7221527 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam, 06037020283242 milik isterinya, Siti Hanidah Marjuki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI