KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan Pengarah Syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh bagi mendapatkan pasport sementaranya ke luar negara.
Abdul Hamid ke United Kingdom (UK) untuk menghantar anaknya melanjutkan pelajaran selain lawatan kerja.
Hakim Suzana Hussin membenarkan pelepasan sementara pasport itu kepada Abdul Hamid Shaikh, 50, bermula hari ini selepas permohonan tersebut tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Dr. Ifa Sirrhu Samsudin.
Terdahulu, peguam Weera Premananda yang mewakili Abdul Hamid berkata pihaknya memohon pasport diserahkan kepada anak guamnya hari ini.
“Anak guam perlu menghantar anaknya melanjutkan pelajaran dan lawatan kerja di United Kingdom pada 10 September hingga 15 November ini,” katanya.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022 mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, menawarkan suapan itu kepada Ser Lay, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh serupa.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE