fbpx

Penganggur dituduh miliki komponen senjata api, pistol tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ying Hao dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan termasuk memiliki komponen senjata api, hari ini.

KANGAR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan memiliki komponen senjata api, pistol tiruan dan dua bilah pedang di sebuah restoran di sini, Julai lalu.

Tertuduh, Tan Ying Hao, 52, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Dia berhadapan tiga pertuduhan memiliki komponen senjata api iaitu memiliki enam komponen AR-15, dua komponen M-16 dan 32 butir peluru pelbagai jenis tanpa lesen atau permit senjata yang sah.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara dua lagi pertuduhan, Ying Hao didakwa memiliki dua bilah pedang dan sepucuk pistol tiruan tanpa kebenaran sah.

Bagi pertuduhan memiliki pedang, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Pertuduhan memiliki pistol tiruan pula, pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan penjara tidak lebih setahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua perbuatan bagi lima pertuduhan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah restoran di sini kira-kira pukul 12.40 tengah malam, 15 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying, manakala tertuduh diwakili peguam, Widyaevasari Mohd Kanifah.

Mahkamah tidak memberikan jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula kes pada 11 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI