NEW DELHI – Beratus-ratus anggota polis dikerah untuk memburu kawanan serigala yang dilaporkan membunuh sembilan orang dengan lapan daripada mereka kanak-kanak, kata pegawai hidupan liar semalam.
Penduduk daerah Bahraich di negeri Uttar Pradesh yang ketakutan berjaga sepanjang malam. Mereka mengerahkan anjing pengawal dan membakar mercun, dengan harapan dapat menakutkan pemangsa itu.
Pembunuhan itu berlaku sejak dua bulan lalu, manakala serangan terbaharu melibatkan seorang budak lelaki berusia enam tahun pagi kelmarin.
Mangsa sedang tidur di beranda rumah apabila seekor serigala mencengkam lehernya.
“Saya terbangun dan melihat anak saya berada di celah rahang haiwan itu,” kata ibu mangsa, Gudiya kepada akhbar Times of India.
“Saya bertindak mengikut naluri seorang ibu dan menarik anak saya dengan sepenuh kekuatan,” tambahnya.
Menurut pakar, serigala hanya menyerang manusia atau ternakan sebagai pilihan terakhir disebabkan kelaparan. Haiwan itu lebih gemar mangsa yang kurang berbahaya seperti antelop kecil.
Namun, pegawai hidupan liar berkata, banjir besar akibat hujan lebat telah menenggelamkan kawasan habitat serigala, mendorong haiwan itu mencari makanan di kawasan tanah ladang yang lebih padat penduduk. – AFP