fbpx

Penduduk alami batuk, sakit kepala terhidu bahan kimia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba melakukan pemantuan susulan laporan terhidu bahan kimia di kawasan perumahan Taman Daya, Johor Bahru awal pagi tadi. - Foto IHSAN BOMBA

JOHOR BAHRU – Penduduk di tiga kawasan taman perumahan di sini mengalami gangguan pencemaran apabila mengesan bau bahan kimia di kawasan berhampiran sejak tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam itu, tiga kawasan yang terjejas melibatkan Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.

Seorang penduduk, Norhayuda Ahmad, 26, berkata, dia terhidu bau seolah-olah bahan kimia sehingga berlarutan hingga pukul 2 pagi tadi.

Menurutnya, pencemaran bau yang berlaku kali pertama itu di kawasan berkenaan menimbulkan keresahan dan panik, malah bimbang kejadian insiden seperti pencemaran Sungai Kim Kim berulang.

“Bau itu menusuk hidung hingga saya mengalami sakit kepala, namun saya lebih bimbang dengan ibu kerana dia adalah pesakit asma.

“Tak tahan bau menusuk hidung, kepala jadi pening, saya hantar ibu saya ke rumah kakak di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Roslan Basiran, 40, berkata, dia dan ahli keluarganya mengalami batuk selepas terhidu bau seolah kimia dan gas.

Menurutnya, dia melihat sekumpulan pihak berkuasa menjalankan pemantauan di kawasan berhampiran kediamannya tidak lama selepas pencemaran bermula.

“Sebelum ini saya pernah mendengar aduan penduduk Pasir Gudang berkaitan pencemaran udara, namun kini ia berlaku di kawasan perumahan ini.

“Diharap ia tidak berulang kerana boleh menjejaskan kesihatan orang ramai,” katanya.

PASUKAN bomba melakukan pemantuan susulan laporan terhidu bahan kimia di kawasan perumahan Taman Daya, Johor Bahru awal pagi tadi. – Foto IHSAN BOMBA

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk yang tinggal di Jalan Sagu, Taman Daya.

Katanya, dua unit fire rescue tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 19 anggota di lokasi kejadian pukul 1.39 pagi.

“Bagaimanapun bau berkenaan masih belum dikenal pasti punca, jenis dan tahap bahayanya.

“Pemantauan sedang dijalankan selain bacaan udara menggunakan pengesan gas oleh unit Hazmat di kawasan dilaporkan termasuk kawasan sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, siasatan masih dijalankan di lokasi terjejas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI