fbpx

Pau Marti tak ‘gila’ jawatan, fokus Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente (kiri) bersama pemain, Syamer Kutty Abba bercakap pada sidang akhbar pra perlawanan antara Malaysia dan Filipina sempena Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente ‘menolak tepi’ spekulasi mengenai masa depannya kerana mahu memberikan tumpuan bersama pasukan menjelang aksi Pestabola Merdeka menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Menurut Pau Marti, fokus utama adalah untuk memastikan keputusan positif dapat diraih dalam usaha mara ke final Pestabola Merdeka kali ini sekali gus memastikan ‘debut’ bersama pasukan dimulakan dengan langkah kanan.

“Pada akhirnya, saya hanya seorang jurulatih bola sepak dan bukan tugas saya untuk mengawal perkara ini (masa depan karier).

“Apa yang penting, fokus saya adalah untuk memastikan pasukan dapat melakar kejayaan dan bukan mudah untuk menang tetapi kita akan berusaha sebaik mungkin,” katanya pada sidang media semalam.

Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya memberikan mandat kepada Pau Marti selaku ketua jurulatih sehingga Piala AFF 2024 pada Disember depan dengan prestasinya akan dipantau dari semasa ke semasa.

Malah, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut memberi jaminan bahawa pihak pengurusan akan mencari pengendali yang lebih berkualiti daripada bekas jurulatih, Kim Pan-gon yang melepaskan jawatannya pada Julai lepas.

Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Pau Marti optimis anak-anak buahnya bersedia untuk menewaskan The Azkals yang menduduki ranking ke-147 dunia.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, rintangan yang diharungi oleh pasukan sejak beberapa bulan lepas menguatkan lagi semangat dalam usaha menjuarai Pestabola Merdeka kali ini.

“Saya positif kita boleh meraih keputusan yang lebih baik. Apa yang berlaku pada masa lepas tidak akan menjejaskan motivasi pasukan.

“Fokus pasukan adalah untuk memikirkan tentang masa depan dan ketika ini, itulah perkara yang kita boleh kawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI