TELUK INTAN – Lebih 23,015 kilogram (kg) minyak masak ditemui di premis pemborong di Langkap di sini oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.
Sehubungan itu, menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan ke atas pemborong yang menyimpan barang berjadual minyak masak melebihi had dibenarkan kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, tindakan itu adalah hasil daripada pemeriksaan harian yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa ke atas pemborong tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kuantiti semasa minyak masak melalui pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 (1) AKB 1961 dan melalui rekod belian serta rekod jualan minyak masak dianggarkan berjumlah 23,015kg melebihi had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen iaitu hanya 10,000kg.
“Berikutan penemuan tersebut, pemilik perniagaan memperakui pengisytiharan stok berkenaan dan menyimpan minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua 23,015kg minyak masak dengan nilai rampasan berjumlah RM96,663 telah disita bagi siasatan dan tindakan selanjutnya dilakukan oleh KPDN Cawangan Teluk Intan.
Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
“Manakala bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta. – KOSMO! ONLINE