PETALING JAYA – Malaysia dan Poland bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan kerjasama bidang pertahanan antara dua negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan kira-kira 40 minit bersama Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski hari ini turut menyentuh mengenai kerjasama Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kesatuan Eropah (EU).
“Hari ini, saya menerima kunjungan hormat Menteri Luar Poland yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia ketika ini.
“Perbincangan kami menyentuh usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Poland, terutama membabitkan kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi digital, eksport pertanian dan sektor minyak sawit.
“Selain itu, kami turut menyentuh mengenai kerjasama ASEAN-EU, dengan mengambil kira peranan Poland sebagai Presiden Majlis Kesatuan Eropah Poland pada Januari-Jun 2025 dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, pertemuan empat mata itu turut membincangkan secara mendalam dan meluas mengenai isu mendesak terkait konflik di Ukraine dan Palestin.
“Saya percaya dan optimis bahawa lawatan ini akan menyumbang secara signifikan kepada pengukuhan kerjasama dan perkongsian antara kedua-dua negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.