SKUAD sepak takraw negara diingatkan supaya tidak dibuai rasa selesa selepas mencatat kemenangan dalam acara regu pada Kejohanan Piala Raja Thai Edisi Ke-37 di Korat, Thailand kelmarin.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, kemenangan mudah 2-0 ke atas India tidak menguji sepenuhnya skuad negara memandangkan tuan rumah, Thailand, tidak menyertai acara regu dan fokus mempertahankan kemenangan kategori berpasukan.
Justeru, Ahmad Jais menuntut pemainnya lebih bersiap sedia dan mempekemaskan lagi teknik sebelum memulakan cabaran sebenar bermula Jumaat ini.
“Kita tidak boleh terlalu selesa kerana persaingan acara berpasukan jauh lebih kompetitif. Hanya juara kumpulan yang akan layak ke peringkat separuh akhir, jadi setiap perlawanan adalah penting.
“Apapun saya harap kemenangan dalam acara regu ini menjadi pemangkin semangat kepada para pemain untuk memberikan aksi lebih mantap dalam acara berpasukan nanti.
“Pemain juga perlu sentiasa fokus dan tidak mengambil mudah cabaran dalam acara berpasukan nanti. Mereka perlu tampil baik pada setiap perlawanan,” katanya.
Dalam aksi pembukaan kelmarin, skuad negara mudah menjinakkan India dengan kemenangan straight set 15-5, 15-9.
Menjelang aksi berpasukan nanti, skuad negara diundi Kumpulan C bersama China dan Laos, manakala Thailand selaku juara bertahan diletakkan dalam Kumpulan A dengan India serta Jepun.
Kumpulan B pula melibatkan persaingan antara Myanmar, Kemboja dan Brunei, manakala Korea Selatan, Indonesia serta Vietnam berada dalam Kumpulan D. – KOSMO! ONLINE