SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) memperhebatkan usaha bagi meningkatkan minat pelajar menceburi bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selari dengan Dasar Pendidikan Digital Negara.
Timbalan Ketua Pengarah KPM Sektor Dasar dan Kurikulum, Dr. Rusmini Ku Ahmad berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuklah peningkatan kerjasama dan penglibatan daripada pelbagai pihak berkepentingan sama ada agensi awam dan swasta bagi memastikan hasrat itu dapat direalisasikan.
“Saya percaya melalui penyaluran maklumat yang tepat berkaitan STEM terutama dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara berterusan akan memberikan fokus STEM dalam lapangan seterusnya dapat mencorak pengalaman terus kepada guru dan murid.
“Kita sedia maklum akan kepentingan pendidikan Digital dan STEM dalam menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dan berdaya saing di peringkat glokal mahupun global.
“Melalui pendidikan ini, kita sediakan anak-anak kita dengan ilmu dan pengalaman yang secukupnya agar mereka mampu meneroka dunia luar yang lebih mencabar,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Projek Pendidikan Digital STEM Pulau Pinang 2.0 (PesInPro 2.0) Peringkat Kebangsaan di Seberang Jaya, di sini hari ini. Hadir sama ialah Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Abdul Said Hussain.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian juga giat meningkatkan kemahiran golongan pendidik menguasai bidang digital menerusi input Dasar Pendidikan Digital (DPD). – KOSMO! ONLINE