TENOM – “Kalau saya mahu jadikan bukti, saya akan rakam Ebit Lew yang tengah beronani semasa panggilan video. Tapi, saya tidak rakam sebab masa itu niat saya bukan untuk (jadikan) bukti.”
Pengadu yang juga saksi kesembilan menyatakan perkara itu dalam keterangannya semasa menjawab pertanyaan peguam bahawa dia membuat rakaman panggilan video perbualan antara dia dan Ebit Lew tanpa sebarang bantahan.
Katanya, ada hikmah di sebalik perbuatannya merakam panggilan video bersama pendakwah terkenal, Ebit kerana ia boleh digunakan sebagai bukti pada perbicaraan berkenaan.
Biarpun pada awalnya dia rakam panggilan video berkenaan tanpa sebarang niat untuk menggunakan video berkenaan sebagai bahan bukti tapi, sekarang dia rasa ada hikmah dia buat begitu.
“Masa itu memang gerak hati saya untuk rakam dan itu adalah kali pertama saya buat rakaman. Kalau tanya pada hari ini, bagi saya ada hikmah saya rakam. Hikmahnya saya dapat bagi dengar polis, itu memang suara Ebit Lew.
“Untuk guna video ini saya tidak menyesal sebab saya boleh guna sekarang untuk mendapatkan keadilan untuk diri saya yang Ebit pernah pengaruhi saya,” katanya semasa sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Mengenai pertanyaan peguam bagaimana dia pasti itu adalah Ebit selain daripada suara, pengadu memberitahu memang Ebit Lew yang menelefonnya.
Kata pengadu, dia tidak menyesal merakam video berkenaan biarpun suaminya marah apabila dengar nada suaranya manja-manja ketika panggilan video berkenaan.
Rakaman video berkenaan membantunya kerana terdapat suara Ebit Lew dalam rakaman tersebut.
Menurut pengadu, rakaman panggilan video tersebut dibuat dalam keadaan dia sedang berbaring namun, dia tidak menunjukkan rakaman tersebut kepada orang lain termasuk Ebit Lew.
Pengadu turut mengakui bahawa dia sedar rakaman panggilan video tersebut boleh digunakan untuk menentangnya di mahkamah.
Melalui rakaman panggilan video tersebut, pengadu menafikan mempunyai hubungan bersama Ebit.
Sekiranya mereka berdua mempunyai hubungan sudah pasti pengadu akan mengikut segala kehendak Ebit tetapi dia menolak dan tidak mengikut kehendak Ebit.
“Masa itu (panggilan video), dia minta tunjuk payudara, kaki tapi saya memang tidak tunjuk, Selepas itu, saya sekat (nombor telefon) sebab saya takut dan tidak mahu lagi terpengaruh dengan permintaan Ebit,” katanya. – KOSMO! ONLINE.