fbpx

Kaki sakit bukan punca kalah final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
THINAAH (kiri) akan pastikan dia dan Pearly bangkit pada Terbuka Hong Kong bermula minggu depan. - AFP

Pearly-Thinaah mahu bangkit di Hong Kong

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah berpeluang menebus kekecewaan muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea kelmarin apabila dijadualkan menyertai Terbuka Hong Kong bermula 10 hingga 15 September ini.

Kemaraan ke pentas final Terbuka Korea boleh dianggap sebagai permulaan baharu buat pasangan No. 9 dunia itu selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Jepun sebelum ini.

Thinaah berkata, ketika ini mereka hanya mahu memberikan sepenuh fokus kepada proses pemulihan kecergasan sebelum kembali mengalihkan perhatian ke arah Terbuka Hong Kong yang merupakan saingan Jelajah Dunia Super 500.

Jelasnya, mereka menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka selain memberikan kredit kepada pasangan tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong atas kejayaan bergelar juara.

“Korea memang bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini dan kami menerima kekalahan dengan hati terbuka kerana agak penat selepas mengharungi perlawanan yang cukup panjang.

“Tahniah kepada Korea, namun kami tidak boleh terlalu keras dengan diri sendiri. Sekarang kami nak balik (ke Malaysia), berehat dan buat persiapan untuk Terbuka Hong Kong,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Pada final kelmarin, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu terlepas peluang meraih gelaran sulung musim ini apabila tewas 12-21, 11-21 kepada Na Eun-Hye Jeong.

Sementara itu, Thinaah turut menjelaskan, kecederaan kaki dialami Pearly pada perlawanan tersebut bukanlah faktor utama yang menjurus kepada kekalahan mereka.

“Semasa set pertama, dia (Pearly) ada tergelincir dan bila ditanya, dia kata tidak ada apa-apa masalah. Mungkin dia hanya rasa tidak selesa sebaik sahaja perlawanan tamat, namun tidak ada perlu dirisaukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI