fbpx

‘Isu air sudah banyak kali saya jawab, terpulang kepada Kedah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow ketika ditemui pemberita di George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi tindak balas berhubung isu tuntutan caj air mentah dari Sungai Muda yang dibekalkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berdasarkan tindakan diambil kerajaan negeri Kedah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya kerajaan Kedah membawa perkara itu ke mahkamah, maka kerajaan Pulau Pinang juga akan menjawab isu itu di mahkamah.

“Isu air sudah banyak kali saya jawab, jawapan saya sama juga, iaitu terpulang kepada Kedah mahu ambil tindakan.

“Kita akan beri respons, kalau cuma cakap, kita jawab cakap saja, kalau masuk mahkamah, kita akan jawab dalam mahkamah,” katanya selepas menghadiri majlis perjanjian pajakan bagi projek Hotel Warisan 1926, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah akan mengheret Pulau Pinang ke mahkamah untuk menuntut bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang dibekalkan kepada PBAPP.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peluang Pulau Pinang sekiranya kes tuntutan caj air mentah itu dibawa ke mahkamah, Kon Yeow berkata, mahkamah belum pun memutuskan mengenai perkara itu.

“Tetapi memang ada pelbagai undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang mengawal penggunaan sumber air yang melibatkan lebih dari satu negara mahupun negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI