fbpx

Hotel Warisan 1926 dibuka semula pada 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (tengah) menyaksikan penyerahan perjanjian pajakan Hotel Warisan 1926 antara PDC dan JetBlue di George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Hotel Warisan 1926, yang merupakan salah satu daripada bangunan warisan Pulau Pinang akan beroperasi semula pada 2026 oleh JetBlue Sdn. Bhd. (JetBlue) dengan nilai pelaburan RM20 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembangunan dan pengubahsuaian ruang dalaman Hotel Warisan 1926 akan dilaksanakan JetBlue yang memperoleh pajakan selama 15 tahun dengan tambahan opsyen 15 tahun daripada Perbadanan Pembangunan Pulai Pinang (PDC).

”Selepas melalui proses pelawaan cadangan, syarikat JetBlue dipilih untuk mengoperasikan semula Hotel Warisan 1926.

”Bangunan hotel ini kekal sebagai bangunan warisan Pulau Pinang, ia dijangka dibuka semula pada 2026 kerana memerlukan masa untuk dibaik pulih.

“Nilai estetika dan seni budaya yang ada pada bangunan ini akan terus dipulihara dan proses ubah suai hanya melibatkan ruang dalaman bilik-bilik hotel,” katanya selepas menghadiri majlis perjanjian pajakan bagi projek Hotel Warisan 1926 di sini, hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian pajakan antara PDC dan JetBlue. PDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aziz Bakar, manakala JetBlue diwakili Pengarahnya, Datuk Koay Shao Sheong.

Menurut Kon Yeow, dengan termeterainya perjanjian pajakan itu, pihaknya berharap JetBlue akan menjadikan Hotel Warisan 1926 sebagai sebuah lagi mercu tanda dalam sektor pelancongan dengan pengubahsuaian berkonsepkan moden namun mengekalkan elemen asalnya.

Tambahnya, pengurusan Hotel Warisan 1926 itu akan diuruskan oleh Hotel Ascott yang merupakan sebuah syarikat yang aktif dalam menawarkan pengurusan hotel di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, katanya, operasi hotel berkenaan terhenti pada 2020 selepas tempoh pajakannya berakhir.

”Hotel Warisan 1926 yang bakal beroperasi akan mempunyai 78 bilik berbanding 96 bilik sebelum ini.

”Semoga projek Hotel Warisan 1926 akan menjadi satu lagi kebanggaan negeri ini dan seterusnya membawa banyak kejayaan kepada Pulau Pinang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI