fbpx

Gambar, baju arwah ibu hangus, semua kenangan jadi abu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Siti Nor Hamzani (kanan) pilu melihat keadaan rumah pusaka keluarganya di Kampung Berangan Masjid, Tumpat yang hangus dijilat api tengah malam tadi. - Foto oleh ROHANA ISMAIL / KOSMO!

TUMPAT – Seorang anak terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan barangan peninggalan arwah ibunya selepas rumah pusaka keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Berangan Masjid, di sini tengah malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam semasa Nik Siti Nor Hamzani Mohd. Ghani, 28, yang masih bujang tinggal rumah tersebut seorang diri dan hanya menyedarinya ketika mahu mengambil pengecaj telefon berhampiran bilik tidur arwah ibunya.

“Tiba-tiba saya lihat api di dalam bilik tidur arwah ibu sebelum bahagian dinding bilik itu terbakar dan merebak ke lantai.

“Api marak menyebabkan saya panik dan tidak sempat berbuat apa-apa. Saya hanya fikir mahu cepat-cepat keluar rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Nik Siti Nor Hamzani memberitahu, oleh kerana terlalu panik, dia terlupa lokasi simpanan kunci pintu jeriji sehingga mengambil masa beberapa minit untuk mencarinya, malah dia keluar rumah sehelai sepinggang dan hanya sempat mengambil telefon bimbit.

Anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Masjid, Tumpat tengah malam tadi. – IHSAN BOMBA

“Saya terkilan apabila semua barangan arwah ibu, Tengku Hafpasah Tengku Senik yang meninggal dunia lima tahun lalu semua hangus dijilat api. Gambar dan semua pakaian milik ibu yang disimpan rapi sebagai kenangan habis terbakar. Itu merupakan kenangan saya sangat sedih kerana semua kenangan bersama arwah ibu jadi abu,” ujarnya.

Menurut Nik Siti Nor Hamzani, selain wang simpanannya sebanyak RM800 terbakar, beberapa ekor kucing peliharaan turut mati akibat terperangkap di dalam rumah semasa kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Lizan Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.40 tengah malam sebelum 12 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, 80 peratus bahagian rumah separa kekal itu musnah dalam kebakaran tersebut dan api dapat dikawal kira-kira pukul 12.59 tengah malam. Operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 3.18 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI