fbpx

Buaya tunjuk muka seminit di Tasik Seksyen 7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imej buaya itu yang dirakam dron Jabatan Perhilitan di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam, petang tadi.

SHAH ALAM – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya merakam imej seekor buaya di Taman Tasik Seksyen 7 di sini, petang tadi.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, imej itu dirakam pihaknya menerusi dron di sekitar tasik tersebut, kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, reptilia itu didapati timbul di permukaan air di kawasan tengah lokaliti berkenaan selama lebih seminit.

“Buaya itu kemudian tenggelam semula ke dalam tasik berkenaan sekali gus menguatkan lagi keberadaannya di tasik itu.

“Perhilitan sedang melakukan penilaian terperinci mengenai tingkah laku reptilia itu sebelum memasang perangkap untuk menangkapnya,” katanya kepada pemberita.

Tinjauan Kosmo! petang tadi mendapati tasik itu masih dikunjungi orang ramai untuk beriadah dan turut dikawal pasukan Perhilitan.

Tambah Wan Mohd. Adib, pihaknya masih berada di tasik itu bagi menjalankan pemantauan rapi ke atas buaya tersebut.

“Kami juga sudah memasang 10 kain rentang amaran kepada pengunjung termasuk mereka yang berjoging pada waktu malam.

“Selain itu, dua bot milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditempatkan di tasik berkenaan bagi membantu proses pemantauan lanjut,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI