SHAH ALAM – Pengunjung sekitar Tasik Shah Alam, Seksyen 7 di sini diingatkan supaya tidak mendekati kawasan di tebing tasik susulan kemunculan seekor buaya di lokaliti tersebut.
Kehadiran reptilia dianggarkan sepanjang lebih satu meter tersebut disahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor semalam.
Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Azhar Sharif berkata, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA dan Perhilitan Selangor telah sekali lagi memantau kawasan tasik dan mendapati buaya tersebut masih ada.
“Berkemungkinan buaya tersebut sesat semasa hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini.
“Kita telah memasang pita keselamatan di sekitar tebing tasik. Jadi, sebelum arahan penutupan rasmi diumumkan MBSA adalah dinasihatkan orang ramai menjauhi tebing tasik,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau menjelaskan, Perhilitan akan mengambil tindakan dengan memasang umpan bagi menangkap buaya tersebut.
“Sebelum ini memang ada kes buaya sesat di sini. Arahan rasmi penutupan tasik tersebut akan dibuat oleh Datuk Bandar hari ini,” katanya
Untuk rekod, seekor anak buaya tembaga sepanjang 0.6 meter pernah ditemui di pam air tasik tersebut pada tahun 2019. – KOSMO! ONLINE