fbpx

Bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan termasuk FLYsiswa diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke menandatangani plak perasmian pembukaan Capsule Transit MAX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, hari ini. Foto oleh KAMARIAH KHALIDI/KOSMO!

PUTRAJAYA – Kabinet hari ini bersetuju untuk meneruskan dua inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dua inisiatif itu melibatkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan (FLYsiswa) dan mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.

“Kabinet telah pun memutuskan untuk inisiatif program FLYsiswa iaitu bantuan penerbangan sebanyak RM300 kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung dan juga pelajar dari Semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak, IPTA (institut pengajian tinggi awam), IPG (Institut Pendidikan Guru) dan sebagainya, mereka tetap diberikan bantuan dan itu akan dijadikan sebagai inisiatif tahunan.

“Jadi setiap tahun kita akan bantu (pelajar) ini di peringkat Kerajaan Persekutuan (manakala) kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga ada membantu pelajar-pelajar mereka dengan (bantuan) sebanyak RM600. Jadi ini dapat mengurangkan beban khususnya untuk pelajar lah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Capsule Transit MAX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk terus mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.

Jelas beliau, kadar berkenaan akan ditetapkan tiga hari sebelum bagi setiap musim perayaan iaitu pada harga RM599. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI