PETALING JAYA – Selepas hampir empat tahun terpisah, usahawan sensasi Nur Sajat Kamaruzzaman akhirnya disatukan semula dengan dua anak angkatnya.
Menerusi muat naik hantaran dalam Instagram, Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 39, berkongsi dua keping gambar bersama dua anak angkatnya itu beserta kapsyen menyentuh perasaan.
“Finally, we be together again (Akhirnya kita bersama kembali),” coret Sajat seraya disertakan dengan tanda pagar #almost4years.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan perincian lanjut hantaran terbabit yang dimuat naik Sajat.
Meninjau ruangan komen, ramai dalam kalangan netizen dan rakan selebriti yang kagum dengan semangat dan kejituan perasaan Sajat sebagai seorang bapa.
“Jat, awak memang ayah yang hebat. Kalau kami tak sanggup berjauhan dengan anak-anak.
“Alhamdulillah, anak-anak dah sampai kepada penjaganya. Semoga mereka bahagia,” demikian antara komen ditinggalkan pengguna Instagram.
Sajat kini berada di Australia selepas pihak penguatkuasa Malaysia memburunya di atas beberapa kesalahan syariah yang pernah dilakukan di negara ini.
Sekitar 2021, dia pernah didakwa dengan dua pertuduhan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana berpakaian seperti wanita dan memuat naik gambar yang tidak sopan di laman sosial Instagram miliknya. – KOSMO! ONLINE