KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mewujudkan galeri penyelidikan menghimpunkan 10 artifak kapal karam dasar laut Pulau Bidong.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, galeri berasaskan Realiti Terimbuh (AR) itu ditempatkan di Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos).
“Pembukaan galeri penyelidikan AR artifak kapal karam ini merupakan pertama dirintis universiti awam negara ini. Ia direalisasikan dengan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Digital Geoscience Global (DGeG) dan Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia (MTDC),” katanya kepada pemberita di UMT di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan perasmian pameran tiga dimensi (3D) dan AR khazanah kapak karam dasar laut Pulau Bidong tersebut yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Mohammad Hazani Hassan.
Mohd. Zamri berkata, selain artifak Bidong Shipwreck, galeri berkenaan turut menempatkan pelbagai khazanah dan penyelidikan UMT berkaitan marin.
Jelas beliau, artifak terbabit diselamatkan dari tapak arkeologi Pulau Bidong dan telah menjalani proses rawatan dan konservasi di Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT.
“Inovasi menggunakan teknik pengimbasan 3D dan AR terkini pula membolehkan pengunjung menyaksikan pameran artifak yang ditemukan di sekitar Kapal Karam Bidong secara interaktif,” katanya. – KOSMO! ONLINE