fbpx

UMPSA perkukuh kerjasama dengan universiti China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
wakil UMPSA bergambar kenangan bersama delegasi beberapa universiti dari China di Kampus UMPSA, Pekan, Pahang baru-baru ini.

UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan jaringan antarabangsanya dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di Heilongjiang, China.

Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha universiti untuk memperluaskan rangkaian akademik dan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan serta pembangunan teknologi.

Majlis menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMPSA hasil kerjasama universiti di Heilongjiang iaitu Harbin University of Commerce, Heilongjiang Jiaotong Polytechnic dan Heilongjiang University of Chinese Medicine.

Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, MoU itu dapat memupuk pertukaran pengetahuan dan kepakaran antara kedua-dua negara.

Ujarnya, ia dijangka membuka ruang kepada pelajar serta staf akademik untuk terlibat dalam program pertukaran, projek penyelidikan bersama, selain peluang latihan industri di Malaysia dan China.

“Kerjasama ini merupakan hasil daripada lawatan rasmi delegasi UMPSA ke wilayah Heilongjiang pada April lalu sewaktu universiti menyertai Malaysia ‘Higher Education Exchange Week’ di sana.

“Dalam program tersebut, delegasi telah berkongsi amalan terbaik UMPSA bagi program ijazah dual dan usaha-usaha pengantarabangsaan,” katanya.

Tambahnya, UMPSA turut melancarkan Kaiwu Workshop hasil kerjasama dengan Heilongjiang Jiaotong Polytechnic.

Katanya, pelancaran tersebut bakal menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi terkini dan aplikasi inovatif terutamanya dalam bidang kejuruteraan kepada staf serta pelajar UMPSA.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, malah turut memberikan manfaat besar kepada pelajar serta penyelidik di kedua-dua negara.

“Di samping itu, ia bakal memberikan peluang kepada UMPSA untuk terus maju dalam bidang teknologi dan inovasi, selain memastikan kami berada di barisan hadapan dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.

Pada masa sama, Yuserrie menyampaikan ucaptama dan melancarkan sesi simposium bertajuk ‘Strategies in Sustaining Advanced TVET Programme at UMPSA’.

Ujarnya, terdapat empat perkara utama dalam memastikan kelestarian pendidikan terutamanya dalam pendidikan kemahiran di universiti.

“Pertama, memastikan program akademik seiring dengan pembangunan teknologi yang memberi kesan terhadap keperluan industri. Justeru, UMPSA akan memperkasa strategi keterlibatan staf akademik dalam penyelidikan,

“Kedua adalah kualiti pengajaran dan pembelajaran dengan peningkatan kemahiran serta latihan semula.

“Ketiga, penekanan budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar. Akhir sekali, strategi pengantarabangsaan dan hubungan baik dengan rakan strategik di luar negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI