PETALING JAYA – Pelakon Alvin Chong mendedahkan namanya pernah ditolak pihak produksi untuk sebuah filem aksi hanya kerana memiliki wajah ‘lelaki baik’.
Mengakui kecewa dengan perkara tersebut Alvin atau nama penuhnya, Alvin Chong Chean Wah, 33, berkata, dia hanya mahu mencabar diri dengan watak lebih berat.
“Saya pernah pergi uji bakat untuk sebuah filem aksi bagi watak polis atau tentera.
“Pada mulanya mereka cakap lakonan okey, tetapi pengarah cakap muka terlalu baik, jadi saya tak dapat,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Katanya, keinginan untuk mendapatkan karakter yang lebih berat menjadi sasarannya ketika ini kerana kerap diberikan watak yang sama.
“Setakat ini, watak yang saya dapat semuanya lebih kurang sama, iaitu hero kacak dan baik.
“Saya menanti juga watak yang lebih mencabar, tetapi rezeki itu masih belum dapat.
“Saya teringin juga watak lelaki psiko dalam naskhah ‘serial killer’, namun belum dapat lagi sebab orang nampak saya macam budak baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia masih tidak tahu cara untuk meyakinkan pengarah mahupun penerbit bagi mendapatkan peluang menjayakan watak berbeza daripada apa sering dijayakan.
“Nak buat macam mana, takkan nak suruh saya pergi tanam janggut, misai dan sebagainya untuk nampak lebih ganas?
“Saya pun tak tahu nak buat macam mana sebab saya nak juga watak berbeza, nanti orang bosan juga kalau asyik tengok lakonan sama sahaja,” tuturnya yang ditemui di lokasi penggambaran drama Rahsiamu Selamat Denganku baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE