GEORGE TOWN – Tanggungjawab untuk menarik minat golongan muda dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tidak hanya terletak pada Kementerian Pendidikan (KPM) semata-mata.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu memerlukan sinergi berterusan daripada semua pihak agar minat dalam bidang STEM dapat dicipta bermula dari peringkat sekolah sehingga ke universiti.
“Ini adalah salah satu isu utama kita sekarang. Kita sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk pastikan minat dalam kalangan pelajar-pelajar memasuki bidang STEM dapat dipertingkatkan.
“Bukan sahaja di Kementerian Pendidikan, tetapi juga di Kementerian Pendidikan Tinggi untuk pastikan mereka berminat dengan aliran STEM,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Inkubasi Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.
Menurut Zambry, bidang industri terutamanya yang berkaitan dengan teknologi memerlukan tenaga kerja yang terdiri dari pelbagai kemahiran, dan permintaan daripada pihak industri agak tinggi pada masa ini.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa hubungan tiga hala antara kerajaan, universiti, dan pemain industri perlu terus diperkukuh memandangkan ketiga-tiganya memainkan peranan penting yang dapat memberi impak besar kepada negara. – KOSMO! ONLINE