SHAH ALAM – Kedaifan lima sekeluarga termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tinggal dibawah jambatan berdekatan Sungai Langat di Bandar Baru Bangi dekat sini mendapat perhatian apabila dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini.
Kesemua mereka berusia 9 hingga 30-an dan berasal dari Pahang.
Jurucakap LZS berkata, pihaknya terdahulu menerima aduan daripada masyarakat berhubung keberadaan keluarga yang tinggal di lokaliti tersebut.
Katanya, pada awalnya pihak menyangka lima sekeluarga tersebut adalah warga asing.
“Siasatan kemudiannya mendapati lima sekeluarga warga tempatan tersebut telah tinggal di bawah jambatan itu hampir setahun lalu.
“Keadaannya sungguh daif namun hairannya, mereka masih tersenyum dan seolah tiada masalah apa-apa pun untuk tinggal dalam keadaan tersebut,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurut jurucakap itu, ketua keluarga tersebut memaklumkan tidak mempunyai wang mencukupi untuk menyewa rumah ekoran hanya kerja dengan mencari hasil kebun.
Ujarnya, individu tersebut turut enggan meminta bantuan dari ahli keluarga lain yang turut tersepit dalam kesusahan.
“Lebih mengharukan apabila individu tersebut menyatakan mereka tidak perlu bayar sekiranya tinggal di situ dan hanya mencari duit makan sahaja.
“Ini membuatkan anggota LZS yang menziarahi mereka terkedu dan semakan mendapati dua anak daripada keluarga tersebut tidak bersekolah. Manakala OKU itu adalah abang kepada ketua keluarga berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, hasil semakan turut menunjukkan keluarga tersebut pernah tinggal di Hulu Langat dan pernah menerima bantuan daripada LZS termasuk Bantuan Kewangan Bulanan.
“Namun pada tahun 2020, bantuan telah diberhentikan kerana mereka telah berpindah pulang ke Kampung halaman di Pahang,” jelasnya.
Justeru, katanya, LZS akan mendaftarkan semula keluarga ini sebagai asnaf Fakir dan akan menyalurkan bantuan kewangan bulanan serta bantuan tempat tinggal. – KOSMO! ONLINE