PETALING JAYA – Hanya kerana memesan nasi goreng ‘chicken chop’ berharga RM20, seorang suri rumah berkecil hati dengan suami yang bertindak meninggikan suara di kedai makan ekoran menu dipesan dianggap mahal.
Berikutan itu, suri rumah hanya dikenali sebagai Zura sehingga kini masih kempunan nasi goreng ‘chicken chop’, sekali gus mengharapkan orang ramai berkongsi kepadanya resepi yang sama sedap seperti di kedai makan.
Menerusi pengakuan di laman web IIUM Confession, Zura bercerita, suaminya membawa dia dan anak-anak makan di kedai makan selepas membeli barangan rumah kira-kira dua minggu lalu.
“Kedai makan biasa ada jual masakan panas semua, tapi ni pun seronok sangat dah untuk suri rumah yang kena selalu masak macam aku ni. Laki aku belek buku menu. Ada talam ‘western’ (makanan barat). Dia tanya, ‘nak tak?’.
“Aku kata, ‘ok je tak kisah, pilih la set mana’. Tapi lepas tu dia bagi buku menu kat aku. Dia kata, ‘pilihlah sendiri nak makan apa’. Masa ni aku fikir dia tak nak lah talam ‘western’ tu.
“Suruh aku pilih aku nak makan apa. Atau aku yang salah faham? Aku belek bahagian belakang, ada nasi goreng ‘chicken chop’ harga RM20,” katanya.
Zura mengakui harga tersebut mahal, namun dia tidak makan seorang dan berkongsi masakan tersebut dengan anak-anaknya.
“Aku tanya dia dulu boleh tak nak pesan ni. Dia kata ‘boleh’. Aku bagi lah buku tu dekat dia untuk dia pula pilih nak makan apa. Dia macam ‘kenapa tak ambil talam tadi kan dah suruh pilih talam tadi’.
“Aku pula ‘lah ingatkan tak nak talam tu sebab kan dah suruh pilih mana-mana tadi’. Masa ni aku malu dengan budak yang ambil ‘order’ tu. Laki aku sampai angkat-angkat tangan (bukan pukul). Dia macam angkat tangan dengan dialog ‘apalahhh’. Boleh bayang tak maksud aku macam mana?,” katanya.
Sambung Zura, dia malu dengan kejadian tersebut dan merasakan jika suaminya mahu memarahinya, adalah lebih baik dilakukan di dalam kereta atau di rumah.
“Bukan depan-depan orang macam tu. Lepas tu, aku nak minum air pun aku rasa macam kelat air tu. Bila menu sampai, aku rasa macam berbaloi harga RM20 sebab pinggan besar amat.
“Ayam pun besar. Aku kongsi dengan anak-anak. Jadi anggaran untuk aku dengan anak-anak tak sampai RM30 pun. Nasi goreng ‘chicken chop’ satu, air seorang satu jenis. Air bukan air mahal pun, air yang orang Malaysia selalu pesan,” katanya.
Wanita itu berkata, disebabkan berkecil hati dengan suaminya, dia tidak merasa nikmat sewaktu makan nasi goreng ‘chicken chop’ tersebut, malah lelaki itu turut mengungkit hal itu di dalam kereta.
“Bila dah siap makan tu aku ingat kan laki aku dah lupa. Baru nak masuk kereta ni, laki aku terus kata ‘sekali makan je dah RM70 lebih, kalau order talam tadi baru berapa ringgit’.
“Aku ni terus terdiam. Aku ni menyusahkan ke. Bukan selalu dapat makan dekat kedai. Bila dapat makan dekat kedai kena ‘sound’ macam tu. Belanja aku dengan anak tak sampai pun RM30 sebab kami kongsi.
“Laki aku pesan tiga jenis menu, air sejenis dan lepas tu nak ‘expect’ apa. Entahlah ke aku yang sensitif? Cuma aku kalau bab makanan aku memang tak boleh kalau orang bersungut. Sebab aku sendiri jenis tak berkira dengan orang lagi-lagi bab makan,” ujarnya.
Ujarnya, ia bukan kali pertama berlaku, bahkan suaminya pernah merungut berkaitan makanan yang dipesan sewaktu mereka sekeluarga makan di kedai.
“Sampai hari ni aku masih lagi teringin nasi goreng ‘chicken chop’ sebab yang aku makan malam tu tak rasa apa-apa di tekak. Kalau kau orang ada resepi nasi goreng yang rasa dia ‘sebiji’ sama macam dekat kedai makan tu, kongsi lah resepi.
“Boleh jugak aku cuba masak nasi goreng sendiri nanti. Bukan tak reti masak, menu-menu lain aku boleh, nasi goreng saja selalu gagal. Doakan aku tak berkecil hati lama-lama dengan suami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE