fbpx

Rekod tanpa kalah Leverkusen lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Leverkusen menunjukkan reaksi kecewa selepas tewas kepada Leipzig awal pagi semalam. - AFP

LEVERKUSEN – Pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso menyeru pasukan untuk bangkit mempamerkan mentaliti juara selepas tewas 2-3 pada perlawanan Bundesliga bertemu Red Bull Leipzig di BayArena awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, Leverkusen berjaya mendahului 2-0 hasil jaringan Jeremie Frimpong dan Alejandro Grimaldo tetapi pasukan pelawat mempamerkan kebangkitan dramatik dengan meledak tiga gol sekali gus melakar kemenangan.

Keputusan tersebut menyaksikan rekod kebal Leverkusen apabila tidak tewas dalam 35 perlawanan Bundesliga sejak Mei 2023 akhirnya menemui noktah.

Kekalahan itu secara tidak langsung meleburkan impian Leverkusen untuk menyamai rekod tanpa kalah kedua terpanjang Bundesliga yang dipegang Hamburg iaitu 36 perlawanan pada musim 1982/1983.

Bayern Munich masih kekal memegang rekod tanpa kalah paling lama sebanyak 53 perlawanan dari 2012 hingga 2014 ketika di bawah bimbingan Jupp Heynckes dan Pep Guardiola.

Kata Alonso, kekalahan tersebut menimbulkan persepsi buat anak-anak buahnya bahawa pasukan dijangka berdepan kesukaran dalam misi mempertahankan gelaran liga musim ini.

“Secara jujur, saya masih lagi mahu memandang positif berbanding terlalu fikirkan perkara negatif dalam aksi kali ini. Saya lihat kami bermain dengan baik khususnya pada separuh masa pertama ketika mendahului 2-0.

“Namun, situasi berubah pada babak kedua apabila terlalu memberi banyak ruang buat lawan melakukan kebangkitan. Ini adalah kekalahan pertama kami untuk tempoh yang panjang dan saya harap pemain belajar daripada keputusan ini,” katanya.

Sementara itu, Frimpong mengakui terkilan kerana pasukannya boleh meraih tiga mata penuh andai berjaya manfaatkan sepenuhnya beberapa peluang keemasan yang dilakukan pada perlawanan kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI