PUTRAJAYA – Beberapa langkah reformasi yang mahu dilaksanakan kerajaan termasuk penggabungan agensi dan jabatan perlu dilaksanakan segera berikutan pelaksanaannya berada pada tahap belum memuaskan ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah reformasi itu perlu disegerakan berikutan kerangka pentadbiran Madani menuntut anjakan perubahan yang terbaik.
“Saya minta beberapa langkah reformasi dilaksanakan segera, penggabungan agensi dan jabatan belum berlaku dengan memuaskan.
“Pertindihan penjawatan, itu masih belum ditingkat yang memuaskan, laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua unit tentang kelembapan dan kecuaian beberapa pegawai, itu belum tahap memuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini tadi.
Menurut Anwar, semua langkah reformasi itu perlu dilaksanakan segera bagi melaksanakan anjakan sebaiknya di mana konsep Madani menuntut kepada konsep yang memberi tumpuan khusus.
“Madani menuntut kita melihat kerangka tumpuan khususnya pada tatakelola, pemacuan ekonomi dan keselesaan rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE