SEBERANG PERAI – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan calon mewakili parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diumumkan minggu ini.
Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, nama-nama calon bakal dikumpulkan dan dibawa untuk perbincangan di peringkat pimpinan sebelum ia diputuskan.
“Kita tidak akan umumkan di peringkat akhir, kita akan memaklumkan siapa calon seperti mana yang kita buat sebelum ini di PRK Nenggiri,” katanya selepas merasmikan Kongres Global Trends In Engineering, Science and Technology (GTEST 2024) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Bertam, di sini hari ini.
“Mana-mana sayap termasuk wanita, pemuda, puteri atau peringkat bahagian boleh hantar nama calon. Namun apabila keputusan dibuat oleh majlis tertinggi khususnya BN, maka itu adalah calon yang akan mewakili kita dan pengundi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Pergerakan Wanita UMNO mengemukakan tiga nama calon kepada pimpinan parti bagi mewakili BN bagi PRK DUN Mahkota. – KOSMO! ONLINE