SHAH ALAM – Pencipta lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini terpilih sebagai penerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-99, hari ini.
Menurut Muhammad Affan Mazlan, 24, dia tidak menyangka dipilih memandangkan terdapat beberapa rakannya turut mendapat keputusan cemerlang dalam bidang pengajian yang diambilnya iaitu Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi UiTM.
“Apapun, agak mencabar untuk habiskan pengajian kerana saya juga membuat lagu kepada artis lain. Tujuan buat lagu adalah untuk mempraktikkan apa yang dibelajar sepanjang dalam kuliah.
“Setakat ini, saya telah buat tujuh buah lagu untuk Aina Abdul antara Sedia Terluka, Bukan Untukku dan Kunci,” katanya selepas menerima anugerah tersebut di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Tengku Permaisuri Selangor yang juga Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Norashikin berkenaan menyampaikan anugerah tersebut kepada Muhammad Affan yang memperoleh markah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sebanyak 3.89.
Muhammad Affan memaklumkan dia ingin mengikut jejak langkah idolanya, Datuk Mokhzani Ismail yang menjadi antara komposer hebat dalam mencipta lagu yang baik.
Malah katanya, lagu tema hari kebangsaan tahun ini, Madani Jiwa Merdeka yang diciptanya turut mendapat sentuhan Mokhazani.
“Beliau (Mokhazani) bantu saya dari segi mendapatkan ahli pemuzik orkestra yang baik supaya lagu tersebut lebih sedap didengari. Saya ambil masa sebulan untuk siapkan lagu Madani Jiwa Merdeka. Apabila lagu ini dimainkan oleh sesebuah stesen radio tempatan, saya memang puas hati,” katanya. – KOSMO! ONLINE