fbpx

Penambahbaikan MACPC: Harga tiket penerbangan dijangka tidak naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pushpalatha (kanan), dan Ketua Pegawai Operasi MAVCOM, Raja Azmi Raja Nazuddin pada sidang akhbar Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), di Menara 1 Sentrum, hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Harga tiket penerbangan dijangka tidak akan naik susulan penambahbaikan pada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 yang diwartakan, hari ini.

Pengarah, Hal Ehwal Pengguna dan Awam Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Pushpalatha Subramaniam berkata, beliau tidak melihat penambahbaikan tersebut akan mendatangkan kos yang signifikan kepada syarikat penerbangan.

“Bagaimanapun, sekiranya terdapat banyak gangguan pasti ada (peningkatan kos), jadi syarikat penerbangan perlu menguruskannya dengan baik.

“Kami memantau harga semua tiket penerbangan domestik dan membentangkannya kepada pihak Menteri Pengangkutan setiap bulan,” katanya ketika sidang media taklimat penambahbaikan MACPC di ibu pejabat Mavcom, di sini hari ini.

Pada 28 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan penambahbaikan kepada MACPC yang diwartakan hari ini.

Antara penambahbaikan termasuk keperluan syarikat penerbangan menawarkan pilihan bayaran balik sekiranya penerbangan lewat melebihi lima jam dan pengguna memilih untuk tidak meneruskan perjalanan dan bayaran tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari.

Sebelum ini, syarikat penerbangan hanya dikehendaki menawarkan makanan, panggilan telefon, akses kepada internet dan penginapan sekiranya perlu bermalam.

Pushpalatha menambah, setelah MACPC diperkenalkan pada 2016, pihaknya telah melakukan penambahbaikan pada kos berkenaan pada 2019 dan ini adalah kali kedua ia dilakukan.

“Sebelum penambahbaikan kali ini, kami telah melaksanakan sesi konsultasi sebanyak lima kali bersama pihak industri dan orang awam sebelum ia dimuktamadkan.

“MACPC ini terpakai apabila berlaku gangguan penerbangan di Malaysia melibatkan semua syarikat penerbangan, termasuk syarikat penerbangan asing yang beroperasi masuk dan keluar dari negara ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai pesawat Malaysia Airlines dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan yang berpatah balik pagi semalam, Pushpalatha berkata, selaras dengan penambahbaikan berkenaan, syarikat penerbangan diwajibkan menawarkan bayaran balik penuh kepada pengguna yang memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan.

“Syarikat penerbangan bagaimanapun biasanya tidak memberi pampasan untuk kesulitan tambahan seperti lawatan terlepas, tempahan hotel, atau pengaturan darat lain yang terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI