OSLO – Seekor paus beluga yang digelar ‘pengintip Russia’, ditemukan mati di perairan barat daya Norway, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Bangkai paus dikenali sebagai Hvaldimir itu ditemukan terapung di bandar Risavika sebelum dibawa ke pelabuhan berhampiran untuk pemeriksaan.
Mamalia itu pertama kali dikesan di perairan Norway sejak lima tahun lalu, dengan keadaannya yang dipakaikan kamera GoPro serta klip mengandungi tulisan ‘Peralatan milik St Petersburg’.
Ia sekali gus mencetuskan khabar angin bahawa paus itu adalah pengintip kepada tentera Russia, namun tiada sebarang pengesahan untuk dakwaan tersebut.
Bangkai Hvaldimir ditemui pada hujung minggu oleh organisasi Marine Mind, yang menjejaki pergerakannya selama bertahun-tahun.
Pengasas Marine Mind, Sebastian Strand berkata, punca kematian tidak diketahui dan ia tidak mengalami kecederaan yang jelas.
Penemuan Hvaldimir pada 2019 membawa kepada penyiasatan oleh agensi perisikan domestik Norway, yang kemudiannya menyatakan bahawa ia berkemungkinan dilatih oleh tentera Russia kerana jinak dengan manusia. – AGENSI