fbpx

Paralimpik Paris: Liek Hou ke final, Fareez kandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANYA selangkah sahaja lagi untuk Liek Hou mempertahankan pingat emas pada Paralimpik Paris selepas meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir. - MPM

KUALA LUMPUR – Hasrat untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri di pentas final perseorangan lelaki SU5 pada Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila hanya jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou meneruskan kemaraan.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris awal pagi tadi, juara dunia lapan kali itu tidak berdepan banyak masalah apabila menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-17 dalam tempoh 47 minit.

Justeru, kemaraan Liek Hou ke perlawanan akhir meletakkan dia dalam landasan terbaik untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu selain sudah memastikan pingat perak dalam genggaman.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami seorang lagi wakil negara, Muhammad Fareez Anuar apabila kempunan untuk melangkah ke final selepas tewas 12-21, 21-14, 6-21 kepada Suryo Nugroho, juga dari Indonesia.

Walaupun tidak dapat meneruskan kemaraan ke pentas final, namun pemain berusia 28 tahun itu sudah menampilkan aksi terbaik apabila mengejutkan pemain No.2 dunia dari Taiwan, Fan Jen Yu dalam saingan peringkat Kumpulan B sebelum ini.

Sementara itu, menjelang aksi final yang dijadualkan berlangsung malam ini, Liek Hou akan turun dengan misi mempertahankan pingat emas menentang Suryo manakala Fareez bakal merebut pingat gangsa bertemu Dheva.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain negara dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk menewaskan lawan masing-masing memandangkan Liek Hou memiliki 13 kemenangan ke atas Suryo manakala Fareez pernah menewaskan Dheva di peringkat kumpulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI