“MESKIPUN ramai beranggapan sukan hoki hanya untuk lelaki, namun bagi gadis seperti saya, ia bukan penghalang untuk bermain dan meminatinya.
“Hal ini kerana, saya yakin boleh berjaya dan mampu memberikan sehabis baik.”
Itu kata-kata yang keluar dari mulut Nur Aida Fatwa Johari, 19, saat ditemu bual baru-baru ini.
Menurut pelajar Diploma Perakaunan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu, dia mula jatuh hati dengan sukan hoki seawal usia sembilan tahun dan masih aktif hingga hari ini.
“Pada mulanya, saya memilih hoki sebagai hobi.
“Namun, selepas diberi tunjuk ajar oleh guru sekolah rendah iaitu Cikgu Abdul Mubim, saya mula jatuh hati dengan sukan ini.
“Dia banyak memberikan kata-kata semangat kepada saya dan dia jugalah yang memberi tunjuk ajar sehingga saya berjaya sekarang,” katanya.
Tambah gadis berasal dari Kuala Terengganu itu, dia amat berterima kasih kepada cikgunya serta jurulatih yang tidak pernah jemu melatihnya sehingga ke saat ini.
“Sekarang saya merupakan pelapis skuad hoki kebangsaan 5 Sebelah (5s) dan pernah mewakili Terengganu untuk kejohanan di pelbagai peringkat, antaranya Sukan Malaysia (Sukma).
“Alhamdulillah, saya pernah dinobatkan sebagai penjaga gol 5s terbaik di peringkat kebangsaan pada tahun lalu,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang pegawai bank.
Berkongsi lanjut, anak kedua daripada empat beradik itu menyifatkan, sukan hoki adalah tentang keberanian, ketekunan dan semangat.
“Wanita juga mampu mencapai kejayaan dalam sukan dan menjadi inspirasi kepada yang lain.
“Bagi saya, hoki bukan tentang kekuatan fizikal, sebaliknya ia bermain dengan strategi dan kecerdasan.
“Jangan takut untuk bermimpi besar dan setiap langkah yang kita ambil di lapangan adalah langkah menuju kejayaan,” ujarnya.
Katanya, pengalaman paling manis yang pernah dia rasai adalah saat pasukan berjaya memenangi salah satu pertandingan utama.
“Ketika itu, kami sama-sama merasai kemenangan bersama pasukan dan melihat hasil usaha keras selama ini.
“Ada juga pengalaman tidak dapat saya lupakan.
“Saya pernah mengalami kekalahan yang menyakitkan sehingga membuat saya kecewa.
“Namun, saya lantas bangkit dengan semangat baharu,” katanya sebelum menoktahkan bicara.