ALOR SETAR – Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Kedah berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Asisten Komisioner S. Markandan yang memangku jawatan tersebut sebelum ini.
Sebelum ini, Nik Ezanee menjawat jawatan Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.
Majlis Serah Terima Tugas Jawatan KJPJKK itu disaksikan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pagi tadi.
Fisol dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada Nik Ezanee atas pelantikan sebagai KJPJKK Kedah baharu.
“Saya berharap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat memberikan kerjasama yang terbaik kepada Datuk Nik Ezanee dalam meningkatkan lagi keyakinan masyarakat dan menaikkan imej PDRM selari objektif penubuhan jabatan ini,” katanya.
Nik Ezanee sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor sebelum dilantik sebagai pegawai pengiring atau ‘aide de camp’ kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau kemudian memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa JPJKK Bukit Aman sebelum ditukarkan ke Cawangan Khas sebagai Penolong Pengarah Bahagian E8 Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE