KAJANG – Empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4 Group) untuk tujuan kerjasama dalam bidang ekonomi.
Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan negeri terbabit iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis masing-masing memiliki 25 peratus ekuiti syarikat tersebut.
“Kita akan usaha segala hasil kita (SG4 Group) dapat akan diagih supaya negeri yang ketinggalan jauh macam Perlis boleh juga dapat hasil daripada empat buah negeri ini.
“Syarikat telah ditubuhkan beberapa bulan lalu. Kita dah mulakan kerjasama secara tidak rasmi dan hari ini kita rasmikan,” katanya pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.
Mahathir berkata, SG4 Group bukan bertujuan menidakkan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi untuk pembangunan dan kemajuan empat negeri itu yang tidak dapat kekayaan yang sama berbanding negeri lain.
Ujar bekas Perdana Menteri tersebut, kerjasama itu termasuk dalam aspek Pelaburan Langsung Asing (FDI) serta unsur nadir bumi atau Non-Radioactive Rare Earth Element (NRREE).
“Kita boleh agih punca kekayaan umpamanya ada pelaburan yang mana (negeri) ketinggalan, kita boleh hantar pelabur ke sana sama ada pelabur dalam atau luar negara.
“Kita percaya bahawa ‘Rare Earth’ adalah punca kekayaan, tetapi ‘Rare Earth’ bukan terdapat sama rata empat negeri. Satu negeri mungkin lebih dari yang lain. Dalam syarikat ini kita agih segala hasil secara saksama,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif SG4, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, secara keseluruhan terdapat lima sektor atau kluster ekonomi dalam SG4 Group.
Jelas beliau, lima kluster tersebut adalah Infrastruktur dan Logistik; Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Pertanian dan Sekuriti Makanan, Pendidikan dan Modal Insan serta Sumber Pendapatan Baharu.
“Setiap kluster akan disemak oleh seorang Exco dari sebuah negeri. Kluster-kluster ini dianggotai Exco negeri-negeri. Setiap negeri akan mencalonkan Lembaga Pengarah.
“Sebagai contoh Terengganu adalah Menteri Besar Incorporated. Kelantan, Perbadanan Menteri Besar Kelantan, manakala Kedah dan Perlis ada syarikat duduk dalam SG4 Group.
“Dalam perniagaan kena ada ‘Special Purpose Vehicle’, maknanya syarikat. Kalau tak bagaimana (empat) kerajaan negeri (pembangkang) nak berkongsi 25 peratus (ekuiti) setiap negeri. Hasil diagihkan secara saksama. Sudah ada pelaburan masuk sebenarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE