SUNGAI PETANI – Seorang pemandu bersama tujuh penumpang bas sempat menyelamatkan diri selepas kenderaan itu terbakar dalam kejadian di Jalan Kuala Ketil, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, pemandu dan kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan dari Baling ke Sungai Petani.
“Tindakan pemadaman dilakukan dengan menggunakan dua aliran dua pancutan dari jentera dan water tanker BBP Sungai Petani serta pasukan bomba sukarela (PBS) berdekatan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kemusnahan bas jenis Tata itu dianggarkan hampir 60 peratus dengan anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE