fbpx

Lima beranak ‘bergelap’, duit sudah habis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad SANUSI (dua kanan) memegang lampu LED untuk menerangi rumah bagi memudahkan lima anaknya mengulang kaji pelajaran di rumah mereka di Kampung Tembak A, Kuala Ketil, Baling, baru-baru ini.

BALING – Seorang pemandu lori dari Kampung Tembak A, Kuala Ketil di sini, buntu memikirkan masa depan lima anak dan isteri apabila dia tidak lagi mampu ­untuk menyara keluarga selepas kehilangan kerja sejak lima bulan lalu.

Menurut Ahmad Sanusi Arjahat, 34, yang juga orang kelainan upaya (OKU) fizikal, dia terputus sumber pendapatan selepas kilang kayu tempatnya bekerja menutup operasi kerana me­ngalami kerugian.

Katanya, keadaan itu menyebabkan duit simpanan habis digunakan bagi membeli barang keperluan sehingga mendakwa terpaksa mencatu makanan bagi mengelak ia habis dengan cepat.

“Lima anak saya berusia 13 hingga lima tahun ke sekolah tanpa dibekalkan wang saku dan mereka hanya bawa bekal makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Jelasnya, dia juga gagal menjelaskan bil elektrik dan air yang tertunggak sehingga menyebabkan bekalan utiliti itu dipotong dan anak-anaknya terpaksa belajar menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang dicas di rumah mentua.

“Begitu juga urusan membasuh pakaian dan mandi, kami akan ke rumah mentua kerana tiada bekalan air bersih,” katanya yang enggan meminta bantuan ahli keluarga kerana tidak mahu membebankan mereka yang juga dalam kalangan orang susah.

Jelasnya, dia pada masa ini hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 untuk menyara keluarga.

“Saya sedang mencari kerja yang sesuai kerana tidak mahu anak-anak berlapar tetapi sehingga kini belum berjaya. Isteri, Nursuhada Mahmad, 34, pernah buat kuih untuk dijual di kedai berdekatan rumah tetapi di­sebabkan sering terputus modal, dia terpaksa berhenti,” ujarnya.

Tambahnya, dia sukar untuk mendapat pekerjaan baharu kerana keadaan dirinya yang cacat pada tangan dan tiada jari kaki serta tidak boleh melakukan kerja berat.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Rakyat 2201731911 atas nama isterinya, Nursuhada atau menghubungi talian 011-36198622.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI