MONZA – Bintang Ferrari, Charles Leclerc mencetus kegembiraan luar biasa apabila menjuarai Grand Prix (GP) Itali di Litar Monza, semalam sekali gus merampas kemenangan daripada McLaren yang diramal mengungguli perlumbaan Formula Satu (F1) itu.
Pemandu dari Monaco itu menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 2.664 saat (s) di hadapan pelumba McLaren, Oscar Piastri yang memimpin perlumbaan sejak pusingan pertama selepas memintas rakan sepasukan dan juga pencabar kejuaraan, Lando Norris.
Norris yang bermula dari petak pertama, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, ketinggalan 62 mata di belakang pendahulu keseluruhan Max Verstappen dari Red Bull yang hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
“Ia adalah satu perasaan yang luar biasa kerana saya mahu menang di Monza dan Monaco setiap tahun. Saya berjaya melakukannya dan ia begitu istimewa,” kata Leclerc.
Strategi Ferrari membuahkan hasil apabila gerakan agresif Piastri memintas Norris di chicane kedua pusingan pertama sehingga berjaya memperlahankan jenteranya serta memberi peluang kepada Leclerc memecut ke hadapan.
Leclerc yang pernah menang di Monza pada 2019 dan GP Monaco tahun ini, mengukuhkan kedudukannya di hadapan untuk terus mendominasi perlumbaan itu menjadikan kemenangan keduanya musim ini.
Sementara itu, Sergio Perez dari Red Bull terus mengalami kekecewaan apabila hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, manakala pelumba Argentina, Franco Colapinto yang membuat penampilan sulung menggantikan Logan Sargeant meraih kedudukan ke-12.
Dalam masa sama, pelumba Haas, Kevin Magnussen berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 meskipun dikenakan penalti 10 saat kerana menyebabkan pelanggaran yang membawa kepada penggantungan automatik untuk perlumbaan seterusnya di Baku. – AGENSI