fbpx

KPT sambut baik usaha IPT wujudkan fakulti AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry (kanan) hadir merasmikan GTEST 2024 anjuran UniMAP di Bertam, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong usaha Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam meneroka dan mewujudkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) selaras agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau yakin pendekatan baharu yang ditekankan iaitu setiap universiti memiliki program unggulan bertaraf global dapat dilaksanakan.

Menurutnya, ini kerana ia adalah salah satu daripada program pengantarabangsaan dalam dasar pendidikan tinggi negara.

“Seperti yang kita sedia maklum, kita telah lancarkan fakulti AI sebelum ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), namun kita tidak menghalang universiti-universiti yang mempunyai kepakaran untuk meneruskannya.

“Kalau sebelum ini terdapat universiti yang mempunyai kemahiran dalam bidang sains komputer misalnya, tentunya selaras peredaran masa, mereka juga perlu membuat perubahan dalam fakulti terbabit.

“Seperti yang disyorkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mahu memiliki fakulti sains komputer dan juga AI, kita tidak ada halangan untuk mereka teruskan dan wujudkan fakulti berkenaan,” katanya selepas merasmikan Kongres Global Trends In Engineering, Science and Technology (GTEST 2024) anjuran UniMAP di Bertam, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha UniMAP yang melaksanakan program yang berjaya menghimpunkan lebih 350 delegasi dari seluruh dunia.

“Kita dapat lihat program ini mengumpulkan individu berkepakaran dalam bidang berkaitan, bukan semata-mata melaksanakan program yang mereka tidak ada kemahiran di dalamnya.

“Pakar dalam bidang kejuruteraan dan pelbagai teknologi lain digabungkan melalui satu konsep baharu iaitu pendekatan antara disiplin, sekali gus membuktikan satu perubahan baharu dalam sistem pendidikan hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI