SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyahut saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha menghalang penyebaran virus mpox (cacar monyet) melibatkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang keluar atau kembali dari luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan menunggu arahan daripada KKM sekiranya terdapat keperluan mencegah penularan wabak terbabit.
“Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah maklumkan dalam mesyuarat kabinet tentang langkah-langkah yang dibuat. Mungkin akan ada pengumuman jika ia berleluasa,” katanya selepas merasmikan Kongres Global Trends In Engineering, Science and Technology (GTEST 2024) anjuran UniMAP di Bertam, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia bakal menerima segera agihan ubat Antiviral Tecovirimat (TPOXX) dan vaksin MVA-BN untuk wabak cacar monyet atau mpox melalui ‘Covid-19 ASEAN Response Fund’.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ubat serta vaksin berkenaan hanya akan diberi kepada golongan sasar sahaja. – KOSMO! ONLINE