SHAH ALAM – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu meneliti bidang-bidang tujahan baharu yang relevan dengan keperluan industri agar dapat mempersiapkan graduan untuk terus bekerja dan memperkembangkan kerjaya.
Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, baginda cakna dengan isu yang melanda graduan pada masa kini termasuk berkaitan gaji tidak selaras dan tidak setimpal terhadap permintaan serta penawaran kerja yang sering dipersoalkan.
Titah baginda, faktor ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan pekerjaan dari bidang tertentu juga perlu dikaji terutama dari segi lambakan graduan.
“Melihatkan situasi ini, IPT seluruhnya perlu meneliti bidang-bidang tujahan baharu yang relevan dengan keperluan industri. Ilmu keusahawanan dan penggunaan teknologi digital harus diperkasa untuk kemahiran tambahan graduan.
“Latihan kemahiran dan kursus profesional jangka pendek yang relevan harus dipertimbangkan oleh IPT agar mereka lebih kompeten untuk mengharungi cabaran seterusnya menyumbang khidmat dalam menembusi pasaran global,” titahnya sempena istiadat konvokesyen UiTM ke-99 di Dewn Agung Tuanku Canselor UiTM, hari ini.
Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, pengkajian semula perlu dilakukan terhadap isu diskriminasi gaji khususnya graduan baru menamatkan pengajian dari segi penetapan bayaran yang minimal mengikut keperluan, ekonomi dan inflasi semasa.
Justeru, baginda menegaskan kerajaan harus menilai situasi ini dan mencadangkan solusi agar anak-anak bangsa tidak tercicir dengan kemajuan arus perdana.
Konvokesyen UiTM kali ini melibatkan seramai 28,020 graduan yang berlangsung sehingga 17 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE