LONDON – Penyerang Manchester City, Erling Haaland seakan sudah hilang rasa takut apabila sekali lagi merakam hatrik untuk menewaskan West Ham United 3-1 di Stadium London, awal pagi semalam.
Prestasinya dalam tiga perlawanan awal cukup luar biasa apabila sudah pun merekodkan tujuh gol selain tiga gol yang diledaknya menentang West Ham menjadi hatrik keduanya musim ini.
Pengurus City, Pep Guardiola menyifatkan Haaland mempunyai segala-galanya untuk menyempurnakan setiap hantaran yang dilakukan oleh pemain lain.
“Dia kekal berlatih untuk tempoh 20 ke 30 minit selepas sesi latihan. Apa yang dia perlukan adalah pasukan yang mampu berikannya bola di dalam kotak penalti lawan dan itulah yang kami lakukan.
“Dia sukar untuk disekat oleh mana-mana pemain pertahanan sekali pun mereka menggunakan senjata,” katanya yang berharap Haaland mengekalkan sentuhan jaringannya.
Jaringan tunggal West Ham hanya terhasil menerusi gol sendiri pemain pertahanan City, Ruben Dias.
Guardiola juga mengakui sumbangan Haaland tidak hanya menjaringkan gol, tetapi dia juga telah memberikan aksi terbaik dalam banyak situasi termasuk ketika melakukan tugas bertahan.
“Sekarang pramusim sudah pun berakhir dan kini saingan akan berehat bagi perlawanan antarabangsa, jadi kita akan tengok bagaimana kemampuannya untuk mengharungi jumlah perlawanan yang banyak selepas ini,” katanya. – AGENSI