MANCHESTER – Pengurus Liverpool, Arne Slot melengkapkan debut paling manis di Liga Perdana Inggeris selepas membantu pasukannya raih kemenangan 3-0 ke atas Manchester United di Old Trafford, sebentar tadi.
Ketika Slot tidak melakukan perubahan dalam kesebelasan utama, rakan sejawatnya, Erik ten Hag membuat tiga pertukaran berbanding ketika tewas kepada Brighton, 24 Ogos lalu.
Red Devils yang hanya menang sekali daripada 12 pertemuan dengan Liverpool sebelum ini seakan dihimpit badi kerana sejak persaraan Sir Alex Ferguson, keputusan kali ini adalah kekalahan ke 14 dalam 36 perlawanan sepanjang September.
Pembatalan gol awal menerusi Trent Alexander-Arnold langsung tidak beri kesan besar buat Liverpool yang dilihat mampu mengimbangi kualiti United.
Walaupun aksi kedua-dua pasukan dilihat agak seimbang, Luis Diaz sekali lagi menyerlahkan magisnya apabila meledak dua gol dalam tempoh tujuh minit, masing-masing pada detik ke 35 dan minit ke-42.
Kelebihan dua gol tidak menjadikan Liverpool berasa selesa dan hanya memerlukan 11 minit di babak kedua untuk menghasilkan gol ketiga menerusi bintang sensasinya, Mohamed Salah.
Walaupun dilihat memiliki beberapa peluang terbaik, tuan rumah seakan gagal menemui sebarang jawapan untuk merobek gawang Liverpool dan kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE