PEMINAT bola sepak skuad Harimau Malaya diharap memberi ruang kepada pengendali baharu kebangsaan, Pau Marti Vicente untuk mencetuskan ‘magis’ menjelang aksi Pestabola Merdeka bertemu Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Bekas jurulatih skuad negara, Datuk Dollah Salleh percaya setiap jurulatih memiliki falsafah serta taktikal tersendiri dalam mencorakkan hala tuju pasukan.
“Mungkin dia ada gayanya tersendiri, kalau dia berasal dari Sepanyol, saya rasa corak permainan lebih cenderung seperti Barcelona.
“Tetapi bagi saya, apa sekalipun yang mahu diterapkan, tiada halangan jika jurulatih itu diberi ruang masa yang cukup, malah di Malaysia juga ramai yang meminati corak bola sepak Sepanyol.
“Apa yang penting, kita kena tengok pemain yang diserapkan dalam pasukan. Itu yang mustahak kerana kadang-kadang kalau terburu-buru pilih pemain mungkin boleh timbul masalah.
“Jurulatih kena pandai pilih pemain. Harap Pau Marti tidak ada masalah pilih pemain kerana dia berpengalaman bersama pasukan ketika jadi staf kejurulatihan Kim Pan-gon,” katanya.
Sebagai rekod, peminat bola sepak negara sebelum ini seperti tidak boleh ‘move on’ selepas Pan-gon meletakkan jawatan secara drastik apabila dilaporkan menerima tawaran kelab Korea Selatan, Ulsan HD pada Julai lepas.
Situasi tersebut menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi mangsa apabila majoriti peminat Harimau Malaya membuat keputusan untuk ‘memboikot’ kempen Pestabola Merdeka kali ini.