PETALING JAYA – Rajin melakukan kerja rumah, pelakon Fasha Sandha mengakui tidak menyerahkan tugas sepenuhnya kepada pembantu rumah terutama bab mencuci pakaian seisi keluarga.
Ujar Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 40, dia mengamalkan sikap saling membantu bagi meringankan beban tugas pembantu rumahnya.
“Ya betul, selalunya selepas pulang dari kerja, saya terus pergi mendobi sendiri. Ya, buat sendiri dan bukan bibik buat.
“Bibik tolong bersih rumah, kita tolong mendobi sebab bibik bukan hamba kita. Bibik adalah manusia yang dikurniakan Allah untuk meringankan beban kita.
“Alhamdulillah tahun keempat dah dengan pembantu rumah saya, moga kekal sampai saya bersara,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Pelakon drama Rampas Cintaku itu juga turut memuji sikap anak perempuannya, Putri Rasyha Jemyma yang sentiasa ringan tulang melakukan kerja rumah termasuk menguruskan pakaian di dobi.
“Anak dara ibu dah besar, sembilan tahun tapi dia tak macam sembilan tahun.
“Alhamdulillah tolong ibu mendobi hasil baju empat hari,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan sikap Fasha yang begitu merendah diri dan tidak mengharapkan segala kerja diuruskan pembantu rumah sahaja.
“Bagusnya Fasha, walaupun dia majikan, dia tak buat pembantu rumah macam hamba, dalam pada sibuk pun tetap menolong juga. Kalau macam ini, memang pembantu rumah pun tidak lari,” komen netizen itu.
“Fasha memang rendah diri, pernah jumpa dia bawa barang banyak tanpa pembantu pun tolong. Sesetengah majikan semua benda bagi pembantu bawa, ramai ingat apabila dah bayar gaji, boleh buat macam hamba, kasihan,” komen seorang lagi netizen. – KOSMO! ONLINE