fbpx

6,000 kematian akibat kemalangan motosikal setiap tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid pada majlis perasmian Conference on Asia Road Safety 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini membabitkan penunggang motosikal direkodkan sekitar 6,000 setiap tahun iaitu antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika dihimpunkan, jumlah kubur-kubur tersebut dianggarkan bersamaan dengan keluasan enam padang bola.

“Kita mendengar apa yang dikatakan oleh Menteri Pengangkutan bahawa (jumlah) kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya ini lebih daripada kematian yang disebabkan oleh Covid-19.

“Dan kesedaran (mengenai isu) ini mesti dilakukan (bermula) sekarang serta melibatkan semua pihak, jangan diletakkan tanggungjawab ini kepada Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi tertentu sahaja,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, menerusi ucapannya, Ahmad Zahid berkata, berkuat kuasa 1 Januari hadapan, semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc ke atas wajib dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Jelasnya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan sistem itu mampu menurunkan kadar kematian jalan raya sehingga 31 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Mari kita bermula dengan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat kerana 65 peratus daripada jumlah kematian jalan raya tahun lalu, membabitkan penunggang motosikal.

“Jadi bermula 1 Januari 2025, semua motosikal baharu dengan enjin kapasiti 150cc ke atas wajib dipasang ABS,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI