KUALA LUMPUR – Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah baharu apabila berjaya merangkul kejuaraan pada Terbuka Korea selepas menundukkan pasangan China, Guo Xin Wa dan Li Qian dalam aksi final yang penuh mendebarkan sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Mokpo, pasangan No. 9 dunia itu mempamerkan aksi cemerlang apabila bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk mencatat kemenangan pada dua set berikutnya 17-21, 21-13, 21-13 dalam tempoh 58 minit.
Kejayaan tersebut amat bermakna buat Tang Jie-Ee Wei selepas ia merupakan kali pertama pasangan beregu itu menjejakkan kaki ke final kejohanan bertaraf Super 500 dan meraih kemenangan selepas sekadar meraih kemenangan dalam saingan Super 300 di Orleans Masters dan Terbuka Taiwan.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik mereka di kejohanan bertaraf lebih tinggi dari Super 300 hanyalah mara ke separuh akhir di beberapa kejohanan besar seperti Terbuka Singapura 2023 (Super 750), Terbuka China 2023 (Super 1,000), Terbuka Arctic 2023 (Super 500) dan Masters Malaysia 2024 (Super 500). – KOSMO! ONLINE