PENYERANG Harimau Malaya, Syafiq Ahmad enggan sekadar memanaskan bangku simpanan sebaliknya berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama menjelang aksi Pestabola Merdeka menentang Filipina, Rabu depan.
Pemain pinjaman kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC ini mengakui teruja apabila namanya kembali dipanggil selepas terpaksa disisihkan pada jendela antarabangsa Jun lepas ekoran kecederaan.
Kata Syafiq, cabaran untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama bukan mudah kerana masih ada pemain yang berkualiti seperti Darren Lok, Romel Morales dan Paulo Josue di jentera serangan.
“Alhamdulillah, syukur sebab saya dapat panggilan untuk kem latihan kali ini. Sudah tentu saya sangat gembira dan cuba buat yang terbaik bersama rakan-rakan.
“Bagi saya persaingan yang baik antara kita dapat tingkatkan lagi kualiti pasukan Malaysia. Sesiapa pun yang berada di posisi masing-masing perlu buktikan yang kita layak untuk berada dalam kem (Harimau Malaya).
“Misi peribadi saya sebagai penyerang sudah tentu mahu menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh.
“Namun, apa yang penting adalah saya dapat membantu pasukan asalkan pasukan menang dalam setiap perlawanan,” kata pemain berusia 29 tahun itu.
Sebagai rekod, Syafiq yang dipinjamkan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah menjaringkan dua gol buat Sang Kenari dalam kancah liga ketika bertemu PDRM dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC musim ini.