BELUM terlambat rasanya untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah buat dua anak seni tempatan iaitu Datuk Remy Ishak dan Datuk Dr. Idzu Baharin yang masing-masing dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Ketika dua individu terbabit memanjatkan kesyukuran beroleh anugerah sedemikian rupa, ramai dalam kalangan netizen yang sepertinya memperolok-olok gelaran diberi kononnya mereka tidak layak.
Perlu diingatkan, penganugerahan tersebut dikurniakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam dan kerajaan negeri Melaka.
Justeru, sudah semestinya, baik Remy mahupun Idzu, mereka mempunyai sumbangan dan bakti tersendiri, terutama buat kemajuan negeri Melaka dari sudut cabang tersendiri.
“Penganugerahan ini menjadi suntikan semangat kepada saya untuk memberikan lebih banyak sumbangan dalam mengangkat Malaysia, khususnya Melaka ke persada antarabangsa. insya-Allah,” ujar Remy, 42, yang merupakan anak kelahiran Durian Tunggal, Melaka.
Yang layak ramai
Remy yang sudah berlakon dalam lebih 30 buah filem merupakan anak jati Melaka dan penganugerahan diberikan kerajaan Melaka dan tiada yang ‘pelik’ di situ.
Jika Datuk Shah Rukh Khan yang datang dari ‘tanah asing’ pun dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka pada sesi khas Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada 2008, mengapa tidak anak seni tempatan?
Cumanya, penulis rasa ada juga kebenarannya ramai selebriti tempatan hebat lain yang wajar diberikan penganugerahan sewajarnya atas jasa dan bakti mereka.
Antara yang memang senior dan wajar sudah wajar bergelar Datuk termasuklah Eman Manan, Sabri Yunus dan Bront Palarae atau Beto Kusyairy yang benar-benar sudah menabur bakti dan mengangkat darjat seni tanah air ke peringkat tertinggi.
Seperkara lagi, ada sebilangan netizen yang ‘berkicau’ kononnya selebriti berjantina lelaki lebih mudah diberi pangkat dan gelaran berbanding kaum wanita.
Apa ada pada pangkat?
Fikir punya fikir, jika itu ukurannya, tiadalah sampai Tan Sri Michelle Yeoh diberikan antara penganugerahan tertinggi dalam negara meskipun jasa dan sumbangannya lebih tertumpu di luar negara.
Kalau ada, mungkin pembaca boleh senaraikan antara filem produksi tempatan yang dilunaskan Michelle atau nama sebenarnya, Yeoh Choo Kheng, 62. Tiada atau memang tiada langsung, namun beliau membawa nama Malaysia dan Ipoh di peringkat antarabangsa.
Ramai sebenarnya selebriti wanita tempatan yang sudah banyak berbakti buat kelestarian dan kemajuan dunia seni tempatan termasuk Ella, Erra Fazira, Yuna dan Noraniza Idris, namun barangkali menunggu masa untuk menerima penganugerahan sewajarnya.
Memetik kata-kata Primadona Filem Melayu Erra atau nama lengkapnya, Fazira Wan Chek, 50, bukan pangkat atau gelaran yang dikejarnya namun tujuannya terus berbakti dalam industri adalah kerana minat dan bakat dikurniakan Ilahi.
“Pada saya ada ramai lagi selebriti senior yang lebih layak yang mempunyai jasa dan bakti untuk dapat gelaran Datuk.
“Kalau dapat, saya anggap itu satu rezeki. Kalau ada rezeki Alhamdulillah. Kalau tiada, saya tetap teruskan hidup seperti biasa. Tak perlu nak rasa stres,” ujarnya kepada Pose baru-baru ini.
Sebenarnya, kalau memang sudah layak menerima pangkat atau gelaran, perihal itu akan datang dengan sendirinya cuma barangkali cepat atau lambat.
Ada selebriti yang sesudah tiada lagi di muka bumi, baru diberikan gelaran. Situasi membuktikan apalah yang ada pada ‘title’ kerana apabila dijemput Allah, semua itu akan dilepaskan, cuma yang tertinggal hanya nama.